Penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-30 untuk membolehkan Malaysia menumpaskan Kemboja 1-0 dalam saingan Kumpulan A.

Persembahan Vietnam dalam aksi pembukaan mereka yang turut berlangsung semalam lebih meyakinkan apabila anak-anak buah Park Hang-seo membenam Laos 3-0.

Malaysia akan bertemu Laos dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Isnin depan sebelum bertandang ke Vietnam pada 16 November dan menjadi tuan rumah kepada Myanmar pada 24 November.

“Kemenangan adalah satu keputusan yang positif dan permulaan baik, namun saya percaya keseluruhan persembahan pemain boleh ditingkatkan lagi. Kita cuba memperbaiki prestasi dalam satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Ia perkara normal apabila pasukan akan bergelut dalam aksi pembukaan mereka untuk mencari momentum. Bermain di padang tiruan menyukarkan lagi keadaan, malah sedikit sebanyak menjejaskan hantaran-hantaran yang cuba dilakukan.

“Begitupun yang penting, pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk menang dan mereka kena kekalkan momentum memburu tiga mata dalam pertemuan menentang Laos,” kata Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe dalam sidang akhbar, semalam.

Kemboja dan Laos dilihat sebagai pasukan paling lemah dalam Kumpulan A, dan menjadi peluang terbaik buat Malaysia untuk mendapatkan mata.

Juara 2008, Vietnam sebaliknya memegang status pasukan No. 1 Asia Tenggara ketika ini dengan menghuni ranking ke-102 dunia manakala Myambar berkedudukan 141 dunia.

Malaysia, juara 2010 pula berada di ranking ke-169 dan Laos yang tidak pernah layak ke separuh akhir menghuni tangga ke-181.

Hanya dua pasukan teratas layak ke separuh akhir. - UTUSAN ONLINE