Cheng Hoe juga melahirkan rasa kagum terhadap jentera Malaysia yang berupaya menyerap tekanan Kemboja dan sorakan hampir 40,000 penyokong tuan rumah di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

“Saya fikir pemain saya bangkit dengan persembahan lebih baik pada malam ini walaupun kami ketinggalan 0-1 pada awalnya. Saya kagum dengan sikap tidak putus asa mereka.

“Sikap inilah yang saya ingin lihat pada masa akan datang. lebih-lebih lagi sewaktu bermain di tempat lawan, di bawah tekanan penyokong tuan rumah.

“Walau bagaimanapun masih terdapat ruang yang perlu Harimau Malaya perbaiki,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah oleh Visal Seouy seawal minit ke-18, namun Harimau Malaysia mula mempamerkan taring pada babak kedua dengan Shahrul Saad menyamakan kedudukan 44 minit kemudian.

Malaysia yang tewas 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan minggu lalu, menambah dua lagi gol menerusi Syazwan Andik Ishak pada minit ke-74 diikuti gol oleh Shahrel Fikri Fauzi pada masa kecederaan.

Skuad negara akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A untuk persediaan menghadapi Piala AFF November ini iaitu menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, disusuli Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober.