Menurut pemain berusia 25 tahun itu, rundingan dengan sebuah kelab di Thailand tidak dapat disempurnakan tanpa mengetahui sebab yang sebenarnya.

Lantaran itu, jelasnya dia membuat keputusan kekal bersama Perak dan telah menandatangani kontrak selama dua tahun minggu lepas.

“Memang pada awalnya saya merancang untuk berhijrah ke kelab di Thailand tapi tak jadi dan saya tak tahu apa yang jadi di sana (kelab di Thailand) sehingga tawaran tidak dapat dilengkapkan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perkahwinan dengan gadis pilihannya, Farah Nadiah Mohammad Khalim, 24, di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Turut memeriahkan majlis persandingan Hafizul Hakim ialah jurulatih Mehmet Durakovic, pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan rakan sepasukannya.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Hafizul akan berhijrah ke kelab Muangthong United di Thailand musim hadapan.

Mengenai isterinya, Hafizul Hakim berkata, mereka saling mengenal sejak 10 tahun lalu dan mengikat tali pertunangan tahun lalu setelah dia terpikat dengan sikap sopan santun Farah Nadiah.

“Saya kenal dia sejak daripada saya tiada apa-apa. Saya rasa saya tak salah membuat pilihan dia sebagai teman hidup saya.

“Sama ada bujang atau sudah berkahwin, karier tetap diutamakan malah saya berharap karier saya bertambah baik selepas berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Farah Nadiah berkata, sebagai isteri dia akan terus menyokong karier bola sepak suaminya. - UTUSAN ONLINE