Dalam laman peribadi Twitter miliknya, Griezmann dilihat memakai jersi bola keranjang dan rambut palsu tatkala muka, kaki serta lengannya dihitamkan de­ngan bertulis ‘parti 80-an’.

Meskipun paparannya itu hanya menerima sedikit komen di Sepanyol, namun kebanyakan pengguna Twitter di seluruh dunia mempersoalkan tindakan pemain berusia 26 tahun tersebut dengan ada yang menyifatkannya sebagai perkauman.

Griezmann pada awalnya memberi komen balas terhadap kritikan itu dengan berkata: “Bertenang kawan-kawan, saya peminat Harlem Globetrotters dan ini adalah era yang menarik... ia satu penghormatan.”

Dia bagaimanapun tidak me­madam foto asal, sebelum ­akhirnya akur dengan desakan berterusan dan membuat permohonan maaf.

“Saya sedar ia adalah kesilapan saya. Sekiranya ada yang ter­singgung, saya mohon maaf,” katanya.

Griezmann merupakan penja­ring terbanyak Perancis dalam Kejohanan Eropah 2016, dan antara pemain yang menjadi re­butan gergasi bola sepak dunia.

Terbaru, akhbar sukan Sepanyol, Mundo Deportivo melaporkan Barcelona bersedia untuk menewaskan Manchester United pada musim panas bagi mendapatkan Griezmann.

Dia memiliki klausa pembe­lian bernilai 100 juta euro (RM479 juta) yang terkandung dalam kontrak bersama Atletico. – AFP