Bale tidak diturunkan dalam kekalahan 4-1 Wales kepada Sepanyol pada aksi persahabatan di Cardiff hari ini selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika bermain untuk Real Madrid menentang Alaves pada hujung minggu lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu berharap kecederaannya pulih untuk bertandang ke Dublin minggu depan, namun Giggs mengakui dia tidak mengharapkan bintangnya itu kembali memperkuatkan barisan skuad Dragon.

“Gareth sangat bergelut (dengan kecederaan) sehingga hari ini. Kami akan membuat keputusan dalam beberapa hari lagi. Buat masa ini nampaknya kami akan turun tanpa khidmatnya.

“Tidak mungkin pada masa ini (Bale akan diturunkan). Meskipun ia tidak serius namun ia (perlawanan menentang Ireland) semakin hampir dengan kami. Jadi kami perlu membuat keputusan,” kata Giggs dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Bale menjaringkan empat gol dalam sembilan penampilan pertamanya bersama Real musim ini, namun dia dihimpit kecederaan untuk beberapa minggu.

Ia sesuatu yang sangat mengecewakan bagi bekas bintang Tottenham itu selepas dia membantu Real memenangi Liga Juara-Juara menentang Liverpool di pentas akhir musim lalu.

Berdepan Sepanyol, skuad bimbingan Giggs bergelut tanpa khidmat Bale, kekalahan teruk sejak tewas 1-6 kepada Serbia pada 2012.

Wales memungut tiga mata dalam dua perlawanan Liga Negara-Negara pada masa ini, membelasah Ireland 4-1 sebelum tewas 0-2 kepada Denmark.- AFP