Pemain antarabangsa Itali itu beraksi selama 75 minit dalam aksi pertama peringkat kalah mati menentang Red Devils yang menyaksikan Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe meledak gol kemenangan.

Persembahan Verratti dalam perlawanan itu menjadi tumpuan kerana dia beraksi cemerlang tetapi gaya hidup kurang sihat yang dilaluinya menjadi tumpuan ramai.

Ketika ramai pemain memberi tumpuan kepada gaya hidup ideal dengan tidak merokok dan sebagainya, Veratti tampil dengan gaya hidup yang jelas berbeza dengan pemain profesional lain.

Bercakap mengenai pemain tengah itu kepada BBC 5, pakar bola sepak Perancis, Julien Laurens berkata: “Bagi saya, Verratti tidak cukup cergas, dia tidak berada pada tahap 100 peratus kerana hanya beraksi satu perlawanan sahaja bulan lalu.

“Minggu lalu dia berpesta hingga pukul 6 pagi bagi sambutan hari lahir Neymar.

“Dia merokok, minum arak dan dia minum hampir setiap hari.

“Jika dia menjalani gaya hidup seperti Cristiano Ronaldo, gaya kerja seperti pemain itu, sudah pasti dia akan menjadi pemain tengah berkelas dunia.

“Tetapi dengan gaya hidup seperti sekarang dan pada masa sama boleh beraksi cemerlang, memang dia adalah pemain yang sangat luar biasa,” katanya.-AGENSI