KUALA LUMPUR 21 Jan. - Gaji pemain yang terlalu tinggi, selain keghairahan pasukan-pasukan mendapatkan nama besar antara punca utama isu tunggakan gaji terus membelenggu Liga Malaysia (Liga M).
Menurut Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya, kira-kira 300 kes telah dilaporkan kepada mereka melibatkan isu tunggakan gaji pemain dan penamatan kontrak secara tidak sah sejak lima tahun lalu.
Rezal tidak menolak gaji pemain tempatan dalam Liga M antara yang tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menyebabkan banyak pasukan sering terjerat dengan keghairahan mendapatkan pemain bintang.

Biarpun tawaran yang diberikan pasukan Liga M sangat ‘menggiurkan’, namun dalam masa sama isu tunggakan gaji, terutama melibatkan bintang import mencemarkan imej bola sepak Malaysia.
“Ya, ada beberapa pasukan memberi alasan tersebut (gaji pemain terlalu tinggi), ada juga beri alasan tidak mendapat dana atau penajaan mencukupi.

“Saya percaya, gaji pemain Liga M antara yang tertinggi di Asia Tenggara, namun kami tidak punya data lengkap mengenai perkara itu.
“Nasihat kami kepada persatuan, belanjalah mengikut kemampuan. Rangka rancangan kewangan dengan baik bagi memastikan pasukan bukan sahaja dapat bertahan musim ini, malah musim mendatang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam , Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan, Liga M mencatat kes tunggakan gaji tertinggi di Asia.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pula menegaskan, akan menggantung penyertaan pasukan dalam Liga M 2019, selain menahan pembayaran geran tahunan serta sumbangan penaja jika mereka belum menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu.