Tegas Saad, fokusnya sekarang hanyalah menjalankan tugas rutin di NFDP dan tidak menyentuh tentang jawatan AMD dalam pertemuan dengan ketua jurulatih skuad Bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee hari ini.

“Saya bukan calon pengganti sesiapa. Sekarang saya hanya jalankan tugas dengan kakitangan (NFDP) dan pemain-pemain. Sememangnya tidak (menjawat jawatan di AMD). Tidak sentuh langsung (ketika bertemu Kim Swee di Wisma FAM),” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bekas jurulatih pasukan remaja kelab Perancis, Paris Saint Germain ini, bakal mengambil alih tugas Teong Kim yang kontraknya berakhir 31 Oktober ini.

Laporan itu timbul ekoran satu artikel khas yang dimuatkan dalam Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pengalaman warga Perancis berketurunan Algeria itu.

Saad menambah, pertemuan dengan Kim Swee juga menyentuh langkah seterusnya dalam membangunkan AMD dan bola sepak belia Malaysia selain berkaitan kejayaan skuad remaja negara menjuarai Kejuaraan B-15 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) di Chonburi, Jumaat lalu.

“Satu kejayaan hebat tetapi kita tidak boleh teruja sangat. Cuma pujian wajar diberikan kepada pemain dan barisan jurulatihnya.

“Semuanya berkaitan daripada persediaan keseluruhan sehingga kejohanan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE