Anak-anak buah Jurgen Klopp bermula dengan positif apabila mendahului 2-0 menerusi tandukan cantik Daniel Sturridge pada minit ke-30 dan sepakan penalti James Milner, enam minit kemudian.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang 1-2, lima minit sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan jarak dekat Thomas Meunier.

Walaupun Liverpool menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang menarik sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, namun PSG lebih bijak mengambil kesempatan menerusi serangan balas dengan meledak gol penyamaan menerusi Kylian Mbappe pada minit ke-83.

Firmino yang hanya dibawa masuk pada lewat permainan menggantikan Sturridge kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan mata berjaya membawa impak kepada Reds.

Bintang Brazil itu menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan tendangan rendah untuk menewaskan penjaga gol PSG, Alphonse Areola pada minit ke-91.

"Saya fikir semua penyokong dan pemain amat ternanti-nantikan saingan Liga Juara-Juara sejak kekalahan kami dalam final, Mei lalu.

"Kami menjadikan perlawanan hari ini sangat sukar, namun ia berakhir dengan keputusan yang hebat.

"Kami menguasai babak kedua, cuma kurang bernasib baik gagal meledak lebih banyak gol. Terima kasih kepada Bobby (Firmino) kerana berjaya melakukan penamat yang sempurna," kata bek kiri Liverpool, Andy Robertson.

Kemenangan membolehkan Reds mendahului Kumpulan C selepas satu lagi perlawanan antara Red Star Belgrade dan Napoli berakhir 0-0. - AGENSI