Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi hambar pada 25 minit pertama perlawanan dengan masing-masing menemui jalan buntu untuk menjaringkan gol.

Tuan rumah terlebih dahulu mempunyai peluang untuk mendapatkan gol pertama namun Gilberto Fortunato gagal manfaatkan peluang keemasan di hadapan gawang pelawat pada minit ke-29.

Pasukan pelawat melakukan serangan balas dan penyerang importnya, Alberto Fernandez berpeluang meletakkan pasukannya di hadapan namun rembatannya ditangkap kemas oleh penjaga gol tuan rumah, Mohd. Farizal Harun.

Gol pertama JDT II akhirnya muncul pada minit ke-44 apabila Fernandez menyempurnakan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pemain Felda United, Thiago Augusto di dalam kotak penalti.

Anak buah Benjamin Mora tidak menunggu lama apabila Darren Deng Lok meledakkan gol kedua lima minit selepas babak kedua bermula.

Nasib malang terus menghantui tuan rumah apabila tonggak utamanya, Wan Zack Haikal Wan Nor diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Mohamad Zamzaidi Katimin setelah mengutip kad kuning kedua pada minit ke-59.

Usaha Felda United untuk merapatkan jurang gol berhasil apabila Augusto menjaringkan gol pada minit ke-85.

Ketika perlawanan seakan-akan memihak kepada JDT II, Augusto menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua apabila rembatannya terkena tiang sebelum masuk ke dalam gawang lawan pada masa kecederaan.

Sejurus selepas pengadil menamatkan perlawanan, tercetus pergaduhan antara kedua-dua pasukan kira-kira lima minit sebelum dileraikan oleh anggota keselamatan.

Pergaduhan antara pemain dan pegawai pasukan Felda United serya JDT II itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan keputusan perlawanan berkenaan. - UTUSAN ONLINE