Pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

Aplikasi Fanskick yang dibangunkan Fanskick Dot Com Sdn. Bhd. mendapatkan pengiktirafan rasmi FAM dan Kerjasama Liabilti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP).

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Pengerusi Fanskick Dot Com, Datuk Shahul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Fanskick Dot Com, Farouk Mustaffa.

Antara fungsi menarik aplikasi tersebut ialah pengguna dapat membuat pembelian tiket atas talian yang memberikan pengguna akses mudah dan terus ke ke pintu stadium dengan mengimbas kod QR di telefon pintar. 

Menerusi aplikasi sama, pengguna juga akan mendapat pelbagai kemudahan berita terkini Kancah bola sepak tempatan serta turut dilengkapi ruangan sosial dikenali Buddy System bagi membolehkan peminat berinteraksi bersama-sama pemain.

Aplikasi itu turut memberi peluang kepada rakan penaja mengiklankan produk masing-masing, selain terdapat permainan simulasi pengurusan bola sepak dikenali sebagai ‘FK Manager’.

Pada masa sama, peminat juga berpeluang melayari live streaming di telefon masing-masing untuk menyaksikan perlawanan yang tidak disiarkan di media arus perdana serta sedutan perlawanan yang berlangsung.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Stores mulai pukul 12 tengah malam ini dan Fanskick Dot Com mensasarkan satu juta pengguna memuat turun Fanskick menjelang penghujung tahun ini. - UTUSAN ONLINE