Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, usaha sebegitu perlu digerakkan secepat mungkin kerana Malaysia memerlukan lebih ramai lagi pemain kebangsaan baharu yang berkaliber dan menyerlah yang hanya dapat dikenal pasti menerusi pencarian bakat baharu di peringkat bawah.

"Untuk mendapatkan pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid hanya dalam seribu ada satu kita dapat, jadi kalau tak ada usaha di peringkat bawah memang kita tak ada langsung pemain untuk mewakili negara.

“FAM berasakan persatuan bola sepak negeri kena adakan program pembangunan bola sepak peringkat bawahan secara berterusan supaya negara tidak ketandusan pemain di masa depan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Pasukan Liga Bola Sepak THB-KFA 2019 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani yang merupakan penaung bagi liga berkenaan.

Turut hadir bagi mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris serta Pengarah Urusan THB Maintenance Sdn Bhd Datuk Seri Hasnur Rabiain Ismail.

Dalam pada itu, Hamidin yang dalam rangka lawatannya ke KFA, hari ini, mengucapkan syabas dan tahniah kepada badan induk bola sepak Kedah itu kerana berjaya menganjurkan Liga THB-KFA yang menjadi platform terbaik mengetengahkan bakat-bakat muda di negeri ini.

"Apa yang dilaksanakan KFA ini adalah adalah tepat dan perlu dicontohi negeri-negeri lain dan mereka adalah pengeluar (kilang) pemain muda yang banyak beraksi di peringkat kebangsaan ," katanya.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata, sebanyak 20 pasukan terbahagi kepada zon utara dan zon selatan akan berentap bagi merebut trofi serta wang tunai berjumlah RM20,000 bagi johan, manakala RM10,000 untuk naib juara pada kejohanan yang bermula, 18 April ini dan berakhir penghujung Ogos.

"Kejohanan ini telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Kedah kerana kali terakhir diadakan ialah lima tahun lalu yang dikenali K-League, ia program yang penting sebagai usaha berterusan bagi mengekalkan Kedah sebagai antara pasukan yang digeruni di Malaysia," katanya.

Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah dari THB Wanderes, PG FC, Suka Menanti FC, Arena Kulim FC, Polimas FC dan Kubang Rotan FC. - BERNAMA