Kehadiran Faiz yang beraksi di posisi penyerang dan Mazlizam yang mampu bertindak selaku bek kanan dan kiri, melengkapkan slot pemain tempatan skuad Panthers.

Pasukan itu sebelum ini mengesahkan dua pemain dari JDT II, See Kok Luen dan Mohd. Azinee Taib serta pemain Sarawak, Mafry Balang serta penjaga gol, Sani Anuar Kamsani dari Sarawak menyertai mereka untuk kempen musim depan.

Penolong Pengurus Pulau Pinang, Mohd. Nazim Ariff Nazir Ariff, Pulau Pinang kini hanya memerlukan tiga lagi pemain import setelah satu-satunya pemain import pada musim lalu, Lee Gil Hoon dari Korea Selatan dikekalkan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

“Walaupun menerima beberapa tawaran pasukan lain termasuk yang beraksi dalam Liga Super, Faiz dan Mazlizam membuat keputusan untuk bersama Pulau Pinang kerana berasa yakin dengan cita-cita serta hala tuju pasukan ini yang mahukan kejuaraan Liga Perdana pada musim depan.

“Kehadiran mereka berdua dilihat tonik paling penting kepada pasukan memandangkan kami amat memerlukan pemain berpengalaman untuk memperkuatkan pasukan, terutama Faiz yang akan menjadi tonggak penting di bahagian serangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pemain-pemain lain yang mengesahkan untuk bersama Pulau Pinang adalah penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros, Mohd. Azrul Ahmad (ATM), Syukur Saidin, Mohd. Farid Ramli dan Mohd. Failee Ghazli (Sime Darby) serta Mohd. Redzuan Nawi(Sabah).

Mengenai jurulatih baharu Pulau Pinang, Nazim berkata, perkara itu bakal diumumkan pada pertengahan bulan ini, termasuk nama tiga pemain import.

“Buat masa ini, saya belum boleh mengumumkan siapakah jurulatih berkenaan walaupun ramai tahu K. Devan tidak lagi bersama kami dan telah ke Negeri Sembilan. Mungkin pengumuman akan dilakukan pada minggu hadapan.

“Kami yakin jurulatih ini memiliki kemampuan untuk membawa Pulau Pinang muncul sebagai salah satu pencabar musim hadapan kerana memiliki rekod yang cemerlang bersama kelab lamanya,” katanya.

Pada musim ini, skuad Panthers menamatkan cabaran di tempat ketiga dalam persaingan Liga Perdana serta tersingkir di peringkat kumpulan Piala Malaysia yang membariskan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan ATM.