Pemain tengah skuad Harimau Kumbang berusia 29 tahun itu berkata, sebelum ini dia pernah dipanggil oleh kem negara namun digugurkan pada saat akhir te­tapi kekecewaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

Namun, pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu berkata ketika ini fokusnya ialah kepada perlawanan berikutnya dalam Liga Super dan Piala FA menentang Kuantan Sabtu ini dan tidak mahu terbuai dengan perhatian yang diterimanya sekarang.

“Sebelum ini saya pernah mendapat panggilan untuk menyertai latihan skuad kebangsaan (Ogos 2015) namun habis di situ sahaja dan berharap ada peluang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kehebatan jaringan Faiz turut mendapat perhatian kerajaan nege­ri yang menghadiahkan RM10,000 kepadanya semalam.

Nama bekas pemain Kelantan itu secara tiba-tiba meledak apabila sepakan bebasnya dari jarak kira-kira 30 meter ketika menentang Pahang di Stadium Bandaraya dianggap gol ajaib dan menjadi viral di seluruh dunia dan disifatkan beberapa akhbar sebagai antara jaringan tercantik pernah dihasilkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Faiz berkata, kejayaan da­lam perlawanan kedua Liga Super selepas tumbang dalam aksi sulung diharap dapat menyuntik semangatnya dan rakan sepasukan.

“Kami ma­hu capai sasaran menduduki kelompok enam teratas Liga Super dan perlu bersungguh-sungguh ke­ra­na saingan dengan pasukan lain cukup sengit,” katanya.

Sementara itu AFP melaporkan jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee memuji matlamat Faiz, dan berkata sepakan itu adalah ‘tonik ajaib’ untuk memberi nafas baharu kepada bola sepak negara yang sedang menempuh zaman kelam.

“Ini bukan kebetulan. Saya akan memanggil Faiz untuk menyertai pasukan kebangsaan untuk latihan menentang Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia pada 24 Mac,” katanya.

Skuad negara kini berada di tempat ke-171 dunia dalam ranking FIFA, kedudukan paling teruk dalam sejarah bola sepak Malaysia yang pernah menduduki tempat ke-79 pada tahun 1993.