Itu adalah kejutan terakhir dalam kejohanan yang banyak kali menyaksikan pasukan pilihan tumbang, peminat yang baik perangai dan hodoh, kete­rampilan Antoine Griezmann sebagai bintang antarabangsa dan Cristiano Ronaldo menangis ketika diusung keluar namun masih menang.

Euro 2016 bukanlah kejohanan klasik untuk peminat tegas bola sepak tetapi menghadirkan keseronokan sebenar kepada mereka yang mahukan kejutan.

Untuk Perancis, Euro 2016 merupakan penawar kepada insiden sera­ngan pengganas dan isu sosial beberapa minggu sebelum kejohanan bermula.

Samseng bola sepak Rusia me­nguji kesabaran pihak berkuasa ke­selamatan tetapi peminat Republik Ireland pula menghiburkan polis Perancis dengan menyanyi untuk mereka.

Diperluaskan menjadi pertandingan untuk 24 pasukan buat kali pertama, pemerhati menjangkakan negara-negara kecil tidak akan mampu memberikan persaingan. Tetapi Iceland, Wales dan Portugal membuktikan sebaliknya.

Iceland menewaskan England 2-1 di pusingan kedua atau 16 pa­sukan terakhir yang menjadi salah satu kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak. Penjaring gol Iceland, Ragnar Sigurdsson berkata England telah ‘panik.’

Wales, yang ditunjangi penye­rang Real Madrid, Gareth Bale, kalah kepada England tetapi masih mampu mara ke separuh akhir dengan permainan mereka yang bersemangat, menarik yang turut menyaksikan mereka me­numpaskan Rusia dan membelasah Belgium 3-1.

Ronaldo akhirnya menghentikan kemaraan rakan sepa­sukannya di Real itu di separuh akhir.

Ireland Utara turut menampilkan persembahan bagus untuk mara ke suku akhir menentang Wales.

Nasib menyebe­lahi Perancis dan Portugal dalam perlawanan awal tetapi tiada sesiapa yang boleh menafikan dua pasukan itu berhak memenangi separuh akhir masing-masing menentang Jerman dan Wales.

Portugal bukanlah antara pilihan utama untuk memenangi kejohanan tetapi mencipta kejutan terakhir untuk muncul juara.

Mereka kehilangan Ronaldo, yang diusung keluar padang pada minit ke-25, dan menyerap asakan Perancis selama 109 minit sebelum Eder melepaskan remba­tan yang menewaskan penjaga gol dan ketua pasukan tuan rumah Hugo Lloris.

Ronaldo menghasilkan salah satu gol tercantik perlawanan apabila menggunakan tumit ketika menentang Hungary. Pemain Perancis, Dimitri Payet turut menghasilkan gol menarik dalam perlawanan pembukaan dengan Romania. Bagaimanapun mereka kalah kepada jaringan akrobatik Xherdan Shaqiri untuk Switzerland ketika bertemu Poland.

Sebanyak 108 gol dijaringkan selepas 51 perlawanan atau purata 2.11 gol, lebih rendah berban­ding 2.45 dalam Euro 2012 dan 2.7 dalam Piala Dunia 2014.

Tetapi masih terdapat rekod baharu apabila Ronaldo menyamai pencapaian legenda Perancis, Michel Platini setelah menghasilkan sembilan gol secara keseluruhan penampilannya.

Euro 2016 sepatutnya menonjolkan kehebatan Paul Pogba, Cristiano Ronaldo dan Thomas Mueller.

Penjaring gol terbanyak Jerman dalam Piala Dunia 2014, Mueller gagal menghasilkan gol di Perancis.

Pogba pula hanya menjaringkan satu gol dalam perjalanan Perancis mara ke final, tetapi Antoinne Griezmann beberapa kali menjadi wira untuk menamatkan kejohanan dengan muncul sebagai penjaring terbanyak dengan enam gol. – AGENSI