England dilihat sebelah kaki untuk mara ke suku akhir selepas 12 tahun apabila kapten Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-57.

Colombia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi pertahanan Yerry Mina pada penghujung perlawanan, sekali gus mengheret aksi di peringkat 16 terakhir itu ke masa tambahan.

Pemain tengah Eric Dier muncul pelengkap kemenangan skuad bimbingan Gareth Southgate selepas dua jentera Colombia, Mateus Uribe dan Carlos Bacca gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut, manakala England kecundang menerusi Jordan Henderson.

Ini merupakan kemenangan sepakan penalti penentuan kedua skuad Three Lions dalam kejohanan besar selepas kali pertama berlaku sewaktu menundukkan Sepanyol dalam Euro 1996.

Colombia telah tersingkir tiga daripada empat perlawanan di peringkat kalah mati setelah ditunjukkan jalan keluar di pusingan 16 terakhir pada 1990, sebelum di suku akhir pada 2014.

England bakal berdepan Sweden yang terdahulu menundukkan Switzerland 1-0 dalam satu lagi aksi peringkat 16 terakhir.- AGENSI