Malah jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata persembahan buruk anak buahnya beberapa perlawanan sebelum ini bertukar menjadi cantik gara-gara jaringan Eder kira-kira 11 minit sebelum masa tambahan perlawanan tamat untuk memberi kemenangan ke atas pasukan tuan rumah.

Meskipun Cristiano Ronaldo mengatasi populariti pasukan Portugal sejak 10 tahun lalu dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-25 akibat kecederaan, tetapi pemain gantian Eder yang dimasukkan pada minit ke-79, berjaya mencuri tumpuan seluruh dunia dalam perlawanan akhir tersebut.

Eder gagal menjaringkan gol ketika beraksi 13 perlawanan bersama Swansea pada musim lalu sebelum dipinjamkan kepada kelab Perancis, Lille.

Malah pemain berusia 28 tahun itu hampir tidak tersenarai dalam skuad Portugal kerana masalah kecergasan dan jaringan kemenangannya di Stade de France merupakan gol keempat dalam 29 penampilan bersama skuad kebangsaan.

“Saya rasa Santos sedar mengenai kualiti saya sejak senarai skuad Portugal diumumkan.

“Dia meletakkan keyakinan terhadap saya dan hari ini saya membalasnya dengan penuh rasa gembira,” kata pemain kelahiran Guinea-Bissau itu.

Eder merupakan seorang daripada pemain Portugal yang lahir di luar Eropah selain Danilo (Guinea Bissau), Pepe (Brazil), Nani (Cape Verde) dan William Carvalho (Angola).

Dia tidak pernah bermain dalam mana-mana tiga kelab besar di Portugal, sebaliknya memulakan karier bersama kelab liga bawahan Tourizense sebelum beralih ke Academica Coimbra selama empat musim dan menghabiskan tiga musim bersama Braga.

Eder membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada 2014 ketika menentang Azerbaijan tetapi sejak itu hanya diletakkan sebagai pemain gantian.

Santos bagaimanapun menghamburkan pujian terhadap sumbangan Eder kepada pasukan dengan kekuatan fizikal yang dimiliki untuk mengawal bola.

“Saya sedar keupayaan Eder untuk mengawal bola di bahagian serangan dan memberi masalah kepada Perancis apabila bersaing bola tinggi.

“Apabila dimasukkan, Eder berkata dia mahu menjaringkan gol dan itu yang dilakukannya. Permainan yang buruk telah bertukar menjadi cantik,” kata jurulatih Portugal itu. – REUTERS