Pengendali TPW, Zahasmi Ismail berkata, Muhammad Nasri atau dikenali panggilan Limak Jimar terpaksa diketepikan akibat faktor usia, manakala Zaidi kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan panel kejurulatihan.

Menurutnya, Limak Jimar merupakan seorang pemain yang bagus namun usianya yang akan mencecah 23 tahun pada 2018 tidak membolehkan dia untuk beraksi dengan TPW.

"Had kelayakan bermain untuk skuad Piala Presiden adalah bawah 21 tahun. Walaupun dia ada kemahiran individu menimbang bola namun ia berbeza jika dia bermain dalam perlawanan sebenar.

"Atas faktor umur, kita juga terpaksa gugurkan dia,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Zaidi yang baharu berusia 19 tahun, Zahasmi memberitahu pemain berkenaan belum mencapai kriteria yang diperlukannya bagi memperkuatkan TPW.

Katanya, Zaidi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan peringkat tinggi jika ingin bersama TPW.

Zahasmi berkata, dia menyerahkan kepada pihak pengurusan Kafa untuk memutuskan kedudukan Zaidi sama ada diperlukan menyertai skuad tersebut.

Utusan Online semalam melaporkan dua pemuda Orang Asli itu melakar sejarah tersendiri apabila diberikan peluang oleh Kafa untuk menjalani sesi pemilihan skuad Piala Presiden Kelantan bagi saingan musim 2018. -UTUSAN ONLINE.