Skuad kendalian Frank Lampard, sebelum ini membuka tirai liga dengan kekalahan besar 0-4 kepada Manchester United, sebelum terikat 1-1 dengan Leicester City.

The Blues yang turun sebagai pasukan pelawat bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan Abraham dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, tuan rumah hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi ledakan pemain sayap kanan, Todd Cantwell.

Pemain tengah Chelsea, Mason Mount kembali meletakkan pasukannya di depan apabila bijak mengelirukan tiga pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan kencang dalam kota penalti pada minit ke-17.

Namun, penyerang sensasi Norwich, Teemu Pukki terus mempamerkan ketajamannya apabila menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah pada minit ke-31.

Penyerang muda England, Abraham memastikan Chelsea pulang dengan tiga mata apabila sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-68.

“Ini merupakan perlawanan yang baik buat saya dan pemain lain. Kami keluar daripada bilik persalinan pada babak kedua dan berkata, kami perlu menang perlawanan ini,” kata Abraham.

Sementara itu, kemenangan ini sudah pasti memberi kelegaan buat Lampard selepas dimalukan United pada perlawanan pertama.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu meraikannya. Jadi saya hanya berlari di hadapan pengurusan. Ia sentiasa memberi keyakinan buat saya dan pemain muda yang ada dalam pasukan,” ujarnya. - AGENSI