Bagaimanapun, hari-hari awal bekas pertahanan dan kapten Manchester City serta Belgium itu sebagai pemain merangkap pengurus Anderlecht diwarnai kontroversi.

Gagal memenangi kesemua lima perlawanan liga menyebabkan dia dihujani kritikan, malah ramai yang percaya, Kompany cuba menjadi seperti Pep Guardiola, malah menganggap dirinya terlalu hebat.

Selepas meninggalkan City dengan membantu kelab itu merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat musim lalu, pemain berusia 33 tahun tersebut memutuskan untuk kembali ke Belgium.

Dia menerima tawaran untuk memegang peranan sebagai pemain dan pengurus di kelab di mana dia memulakan karier bola sepak profesional.

"Saya bukan sahaja amat terkesan, malah terharu dengan keyakinan yang ditunjukkan terhadap saya.

"Saya mahu berkongsi pengetahuan bersama generasi akan datang Purple (gelaran buat Anderlecht), saya mahu tunjukkan sedikit sentuhan Manchester di Belgium," kata Kompany ketika itu.

Sentuhan awal Kompany bagaimanapun amat tidak memberangsangkan, di mana Anderlecht kini menghuni tangga ke-13 dalam liga utama Belgium selepas kalah 0-1 kepada Genk dalam aksi terakhir hari ini.

Bekas penyerang Belgium dan Anderlecht, Marc Degryse mengetuai kritikan terhadap Kompany yang disifatkan punca aksi suram pasukan.

“Kompany pemain yang sangat bagus dan hanya manusia biasa, namun saya berpandangan dia merasakan dirinya ‘Tuhan’.

“Dalam pengurusan biasa, ketika rehat minggu antarabangsa, itulah peluang pengurus berbincang dengan pasukan, memikirkan cara memperbaiki pasukan.

“Begitupun untuk Kompany, dia akan melapor diri ke kem kebangsaan untuk berhadapan San Marino dan Scotland. Dia juga masih ada perlawanan testimonial di Manchester.

“Ia bagus untuk sentiasa sibuk tetapi setiap perkara itu ada batasannya. Dia patut memikirkan tentangnya,” kata Degryse kepada HLN.

Kompany beraksi selama 90 minit dalam semua perlawanan liga musim ini, malah Anderlecht juga membariskan dua bekas bintang Liga Perdana, Samir Nasri dan Nacer Chadli.

Bagaimanapun pengalaman yang dimiliki trio berkenaan gagal membantu Anderlecht setakat ini.

Pernah menjuarai Liga Belgium pada 2017 dan menghuni tangga keenam musim lalu, Purple masih bergelut untuk mengukuhkan kedudukan.

Pemecatan mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana kepulangan Kompany menerima sambutan hebat daripada penyokong, namun yang pasti dia perlu melakukan sesuatu untuk mengeluarkan Anderlecht dari terus dibayangi kekalahan.

Bekas pengurus Ajax, Aad de Mos turut menegur cara Kompany yang dilihat cuba menyalin gaya Guardiola dengan menggunakan formasi 4-1-4-1 dalam beberapa perlawanan.

"Dalam bola sepak, anda tidak boleh meniru gaya jurulatih lain.

"Kompany mahu melakukan perkara yang sama seperti dilakukan Guardiola di City, itu membuatkan saya sakit hati.

"City ada pemain seperti Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne – Anderlecht pula beraksi dengan barisan pemain yang biasa-biasa.

"Guardiola juga ada Aymeric Laporte, Ilkay Gundogan atau Raheem Sterling – Kompany tidak ada mereka di Anderlecht," kata De Mos kepada La Derniere Heure. - AGENSI