Deschamps, 50, membimbing Perancis sejak 2012 membantu Les Bleus muncul juara dunia di Rusia pada tahun lalu, dua dekad selepas dia menjulang trofi tersebut ketika menjadi kapten negara tersebut.

“Bagi saya, untuk memastikan saya masih bersama pasukan hingga Piala Dunia yang seterusnya adalah sesuatu yang tidak pasti dan saya tidak suka bercakap mengenainya.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan (Persekutuan Bola Sepak Perancis) presiden (Noel Le Graet). Kontrak saya hingga Kejuaraan Eropah (Euro),” katanya.

Kontrak Deschamps tamat hingga Jun 2020 bagaimanapun bekas pemain Perancis dan Juventus itu tanpa berselindung berminat untuk melanjutkan tempoh tersebut namun bergantung kepada persembahan pasukannya.

“Ia berkait rapat dengan keputusan namun sebelum memikirkan 2020, kena lihat kelayakan terlebih dahulu (Euro 2020),” katanya lagi.

Deschamps berkata dia tidak pernah terfikir untuk melepaskan jawatannya selepas menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi final Piala Dunia di Moscow sebaliknya menegaskan masih banyak perkara yang perlu dicapai.

“Semangat saya masih sama kerana saya yakin masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk skuad ini,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia mahu mencontohi Joachim Loew yang mengemudi Jerman sejak 2006, Deschamps berkata;’Dia contoh yang baik. Dia boleh dianggap lima jurulatih terbaik lima tahun lalu namun hari ini kedudukannya tidak teruk. Dia merupakan individu yang membuktikan banyak perkara dan saya gembira melihat dia masih kekal bersama Jerman. - AFP