Ketika bergelar kapten Perancis, Deschamps berjaya menjulang trofi Piala Dunia 1998 di laman sendiri serta menjuarai Euro dua tahun kemudian, dan tidak pernah menyembunyikan sikapnya yang benci dengan kekalahan.

“Satu pukulan kuat di kepala. Ketika ini saya diselubungi kekecewaan. Saya sedih untuk pemain saya. Tiada kata-kata yang dapat menenangkan mereka. Sangat sukar untuk menerimanya. Peminat juga sukar untuk menerimanya kerana mereka mahukan trofi kejuaraan,” kata Deschamps selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 kepada Portugal dalam aksi final Euro 2016.

Perancis dilabel sebagai pasukan pilihan selepas mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Jerman 2-0 dalam peringkat separuh akhir dan mereka mempunyai peluang namun gagal menembusi barisan Portugal yang bermain lebih padat selepas kehilangan tonggak pasukan Cristiano Ronaldo akibat kecederaan.

“Mungkin Portugal tidak menang banyak perlawanan namun mereka tidak beraksi di pentas akhir secara tidak sengaja. Anda tidak boleh merampas apa-apa daripada mereka, mereka sudah memenanginya. Tahniah kepada mereka,” kata bekas jurulatih Juventus itu lagi.

Deschamps, 47, yang mengambil alih jawatan daripada Laurent Blanc pada 2012, diberikan pujian kerana menjadikan Perancis sebagai salah satu pasukan yang kuat serta berkarakter. – REUTERS