Gol tunggal pemain muda di bahagian tengah Phil Foden seawal minit kelima membolehkan skuad bimbingan Pep Guardiola membalas dendam ke atas Tottenham Hotspur, yang menyingkirkan City di pentas Liga Juara-Juara.

City pada Khamis lalu terpaksa gigit jari disingkirkan skuad bimbingan Mauricio Pochettino di pentas Eropah menerusi kelebihan jaringan tempat lawan setelah agregat terikat 4-4 dalam saingan suku akhir kedua.

Kejayaan tersebut sekali gus mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam kancah liga ke atas Spurs, yang turun tanpa penyerang berbisa Harry Kane ekoran kecederaan.

Hanya berbaki empat perlawanan untuk City menentukan sama ada mereka berjaya mengucup trofi Liga Perdana musim ini, dengan berkelebihan satu mata daripada tempat kedua, Liverpool, yang akan menentang Cardiff esok pukul 11 malam waktu Malaysia.

Kekalahan Spurs menyaksikan mereka dalam bahaya untuk merebut slot ke pentas Liga Juara-Juara musim depan apabila kekal dengan 67 mata.

Sementara itu, Arsenal serta Chelsea berpeluang untuk merebut kelompok empat teratas liga susulan kekalahan Spurs di Stadium Etihad hari ini setelah masing-masing mngumpul 66 mata.

Arsenal yang menghuni kedudukan keempat akan berdepan Crystal Palace esok, manakala tempat kelima Chelsea berdepan Burnley, Selasa ini.- AGENSI