Bekas pengurus Inter Milan dan Manchester City itu dilantik pada Mei lalu dengan misi utama mengembalikan Itali ke landasan yang betul selepas gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Mancini bertanggungjawab membina semula skuad Azzurri untuk menjadi pencabar utama Kejohanan Eropah (Euro) 2020 dan Piala Dunia 2022.

Jurulatih berusia 53 tahun itu menegaskan, dia akan membawa masuk lebih ramai ‘darah muda’ ekoran persaraan beberapa pemain veteran, termasuk penjaga gol ikonik, Gianluigi Buffon.

Ketiadaan Buffon membuka pintu kepada pemain remaja sensasi AC Milan berusia 19 tahun, Gianluigi Donnarumma yang sedia memakai jersi No. 1.

“Kami memiliki sekumpulan pemain muda yang hebat, sangat muda.

“Pemain-pemain ini amat bersemangat untuk mengembalikan bola sepak Itali ke tempat yang mereka selayaknya berada. Itu tugas kami,” kata Donnarumma kepada pemberita di pusat latihan pasukan di Coverciano, berhampiran Florence hari ini.

Menurut Mancini, beliau mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan memberi tumpuan kepada pemain muda, malah me­manggil empat muka baharu, termasuk pemain tengah Roma berusia 19 tahun, Nicolo Zaniolo yang belum pun beraksi dalam Serie A.

Skuad muda Itali mara ke separuh akhir Kejohanan UEFA Bawah 21 (B-21) 2017, selain menduduki tangga ketiga Piala Dunia B-20 2017.

Mancini turut menyeru jurulatih-jurulatih Serie A agar memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk beraksi kerana mahu memaksimakan potensi.

“Kami mahu menghantar mesej jelas dari Coverciano. Kami yakin, semua pemain yang ber­aksi baik di peringkat remaja mampu melakukan perkara sama di peringkat lebih tinggi.

“Dalam situasi sekarang, tidak ramai pemain Itali yang konsis­ten.

“Sebab itulah, kami mema­sukkan ramai pemain muda untuk membolehkan skuad kebangsaan memiliki kumpulan pemain yang lebih besar,” kata Mancini.

Selain tenaga muda, Mancini turut memanggil beberapa pemain berpengalaman, termasuk penyerang kontroversi, Mario Balotelli yang akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan buat kali pertama sejak Piala Dunia 2014.

Pertahanan veteran Juventus, Giorgio Chiellini, 34, juga akan kembali ke pangkuan Itali.

Selepas Poland, Itali akan menentang Portugal di Lisbon pada 10 September. – AGENSI