Pemain tengah skuad Lang Merah, Sandro Da Silva mengesahkan mata penting tersebut apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-65 setelah rakan sepasukan Liridon Krasniqi dua kali menyamakan kedudukan untuk Kedah (penalti m-42, m-59).

MISC-MIFA terdahulu sentiasa mendahului perlawanan menerusi jaringan Kpah Sean Serman pada minit ke-27 dan Syazwan Tajudin (m-47).

Biarpun tewas, skuad The Indian yang dikendalikan K. Devan tetap unggul dalam Kumpulan C apabila mengumpul enam mata, manakala Kedah empat di kedudukan ketiga.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri 2-2 menentang Felcra FC, sekali gus membolehkan mereka terus unggul dalam Kumpulan A.

Skuad Penyu memperoleh dua jaringan menerusi penyerang Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-20 dan 45, sebelum Felcra bangkit menyamakan kedudukan hasil ledakan gol Mohd. Alif Samsudin (m-59) serta Abdul Azim Rahim (m-89).

Sementara itu, Matthew Davies muncul wira Pahang apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Perak, dan membolehkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu mengungguli Kumpulan D dengan pungutan tujuh mata.- UTUSAN ONLINE