PENYERANG Pahang, Patrick Cruz

Setelah direhatkan hampir dua bulan atas faktor kecederaan, Cruz difahamkan sudah pulih sepenuhnya dan bersedia sekiranya diberi kepercayaan menggalas tugas mengetuai barisan serangan.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya berharap Cruz dapat beraksi bagi melengkapkan kesebelasan utama namun, ia bergantung kepada tahap kecergasan dan kesediaannya selepas pulih daripada kecederaan di pangkal peha kanan.

"Kita harapkan Cruz dapat kembali menajamkan barisan penyerang. Bagaimanapun, saya percaya jurulatih, Dollah Salleh pastinya melakukan percaturan terbaik untuk berdepan Red Giant malam esok.

"Saya difahamkan Cruz telah pulih dan bersedia untuk bermain sekiranya dipilih membarisi kesebelasan utama skuad Tok Gajah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohammed Suffian, beliau juga yakin bahawa pasukan akan memberikan persembahan terbaik sekali gus mengumpul mata penuh bagi mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia tahun ini.

"Meskipun berkemungkinan beraksi tanpa tonggak pemain tengah, Muhammad Safuwan Baharudin yang cedera lutut pada perlawanan menentang PKNP FC minggu lalu, skuad Tok Gajah masih mempunyai asas yang kuat untuk berhadapan Selangor.

"Buat masa ini kemungkinan Muhammad Safuwan direhatkan namun pada masa sama kita percaya barisan jentera tengah Pahang akan beraksi dengan baik pada perlawanan hari ini," katanya.

Sementara itu, Cruz memaklumkan dia teruja setelah pulih dari kecederaan dan mahu kembali beraksi bagi membantu skuad Tok Gajah meraih kemenangan untuk mengesahkan kedudukan di suku akhir.

"Setakat ini saya tiada masalah untuk beraksi semula dalam pasukan dan jurulatih juga telah menilai prestasi saya sepanjang sesi latihan minggu lalu.

"Bagaimanapun ia bergantung pada pemilihan jurulatih dan saya percaya dia mempunyai strategi tersendiri bagi mencipta kemenangan menentang Selangor malam ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Dollah juga memberitahu dia gembira selepas melihat kondisi Cruz yang semakin pulih namun pada masa sama masih mempertimbangkan keputusan untuk membenarkannya beraksi pada perlawanan malam ini. -UTUSAN ONLINE