Begitupun laporan bertiup kencang di England bahawa bintang tengah Brazil itu mungkin beralih kepada musuh ketat mereka, Manchester United sebaik sahaja Red Devils mendapat pengurus tetap.

Ole Gunnar Solskjaer tidak menjangkakan dapat melakukan pembelian baharu sepanjang menjadi pengurus sementara.

United bagaimanapun berpeluang membeli pemain berusia 26 tahun itu sebaik sahaja musim ini berakhir kerana Barcelona bersedia melepaskannya.

Coutinho gagal meyakinkan jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde selepas hanya beraksi dalam sembilan perlawanan La Liga dan meledak empat gol musim ini.

Menurut akhbar Itali, Calciomercato, Barcelona bersedia mendengar tawaran yang dikemukakan oleh Red Devils sekiranya ia munasabah tetapi tidak menyatakan secara spesifik jumlah yang dikehendaki.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu membayar 142 juta pound (RM747.24 juta) kepada Liverpool ketika membeli pemain tersebut pada 2018.

Coutinho bagaimanapun tidak gembira di Barcelona dan berhasrat untuk meninggalkan kelab itu.

Selain United, Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) turut berminat mendapatkan khidmatnya, namun penyokong Liverpool amat berharap agar kelab tersebut membawa pulang pemain itu ke Anfield.

“Saya harap Coutinho dapat masuk semula dengan segera,” kata seorang peminat Reds di Twitter.

“Dapat lihat Countinho sedang bergelut di Barca, ia cukup menjijikkan.

“Saya harap dia segera dibawa masuk ke Liverpool. Dia adalah pemain yang cemerlang.

“Lihat sahaja kepayahan Liverpool untuk mencari penggantinya.

“Jika saya memiliki kuasa, saya terus membawanya ke Liverpool esok,” kata seorang lagi peminat. – AGENSI