Costa, 30, digantung lapan perlawanan selepas dilayangkan kad merah kerana mempertikaikan tindakan pengadil ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Barcelona dalam saingan La Liga, 7 April lalu.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan, bekas penyerang Chelsea itu juga akan dikenakan tindakan disiplin kerana gagal menghadirkan diri pada sesi latihan.

Menurut akhbar berkenaan, Costa tidak gembira kerana kelab tidak mempertahankannya ketika dia dikenakan penggantungan lapan perlawanan.

Pengadil, Jesus Gil Manzano dalam laporan yang diberikan kepada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) memberitahu, Costa telah mengeluarkan kata-kata yang amat kesat, malah menyentuh mengenai ibunya dalam pertelingkahan itu.

RFEF menjatuhkan hukuman penggantungan empat perlawanan di bawah Artikel 94 iaitu menghina pegawai perlawanan, sebelum mengenakan bantuan tambahan di bawah Artikel 96 mengkasari pengadil. - AGENSI