Manchester United menerima kunjungan Chelsea, Ahad ini berharap dapat memecahkan kebuntuan selepas Red Devils tewas tujuh daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, terima kasih kepada prestasi buruk skuad kendalian Maurizio Sarri dan Arsenal apabila masing-masing tewas kepada Crystal Palace dan Wolves sekali mengekalkan United dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, kurang tiga mata daripada kedudukan keempat liga.

Kekalahan United kepada City, Rabu lalu membolehkan juara bertahan mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Liverpool dengan baki tiga perlawanan.

City melebarkan rekod kemenangan buat kali ke-11 dan sebarang kesilapan akan menyebabkan mereka terkeluar daripada perebutan kejuaraan liga.

Liverpool sudah pun mengatasi rekod pungutan mata kelab dalam saingan liga selepas mengumpul 88 mata dan skuad kendalian itu dijangka tidak berdepan masalah untuk menghadapi Huddersfield yang sudah pun tersingkir daripada EPL.

“Sekarang, jelas kami berkelebihan satu mata di belakang City dan kami sudah lama menyedari jika kami menang dua aksi seterusnya keputusan akan dibuat pada hari terakhir perlawanan dan itu cukup istimewa,” kata Klopp.

City bakal bertandang ke Burnley dan pengurusnya, Pep Guardiola mahu pemainnya tidak terlalu teruja sebaliknya menjangkakan pertemuan yang sengit.

“Saya tahu sekarang orang bercakap mengenai kami, betapa kacaknya kami namun sekarang kami perlu pergi ke Burnley dan berdasarkan dua musim terakhir saya di sini menentang Burnley di tempat mereka bukan tugas mudah,” kata Guardiola. - AFP