Kemenangan 2-0 ke atas Stoke, hari ini meletakkan City dengan kelebihan 16 mata di depan, sekali gus kian mencerahkan peluang untuk anak-anak buah Guardiola mengesahkan kejuaraan jika me­reka menumpaskan Manchester United dalam pertembungan derby di laman sendiri 7 April ini.

“Semua orang yang berpihak di jersi biru Manchester tahu peluang ini datang hanya sekali seumur hidup, tetapi kita perlu bertenang, kita akan lihat pertembungannya nanti,” kata kapten skuad Citizens, Vincent Kompany.

Terdahulu, dua jaringan pemain tengah City, David Silva ketika menentang Stoke membantu pasukannya mendekati gelaran Liga Perdana.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu hanya mengambil masa sembilan minit untuk meletakkan City di depan mengatasi Stoke yang kelihatan hampir pasti tersingkir ke divisyen kedua, musim ini.

Sekalipun, dihimpit ujian ekoran bayi lelakinya yang lahir tidak cukup bulan, sehingga memaksa Silva membahagikan masa antara Manchester dan Sepanyol, namun, ia sama sekali tidak mengganggu fokus pemain tengah tersebut di atas padang.

Bintang antarabangsa Sepanyol itu turut menyumbat gol kedua pada minit ke-50 dan memastikan kemenangan menjadi milik mutlak City.

“Ketika saya bermain bola, saya akan lupakan segalanya, ia sesuatu yang bagus untuk saya. Kehidupan peribadi saya agak bergelut ketika ini, namun anak saya kini semakin dalam keadaan baik,” ujar Silva.

Jika City menang dalam perlawanan liga seterusnya menentang Everton pada 31 Mac ini, mereka mempunyai peluang untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal, musim ini apabila bertembung United di Stadium Etihad nanti. – AP