Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu merupakan pe­nyambung kepada masa depan bola sepak negara dan mungkin sudah tiba masanya untuk mereka diberi peluang beraksi bersama Harimau Malaya.

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang turut berada di sini berkata dia sendiri sudah menyaksikan pasukan B-23 negara beraksi dan mengakui beberapa nama telah dikenal pasti untuk diserap ke dalam Harimau Malaya.

Mereka mungkin akan dipanggil untuk menganggotai skuad yang akan beraksi dalam perlawanan terakhir kelayakan akhir Piala Asia 2019 menentang Lebanon pada 27 Mac nanti. Malaysia telah pun terkeluar daripada persa­ingan, dan pemerhati bola sepak negara sebelum ini meluahkan pandangan bahawa perlawanan di Stadium Camille Chamoun, Beirut itu seharusnya digunakan untuk menguji pemain-pemain baharu dan muda.

“Saya ada mengenal pasti beberapa pemain untuk dipanggil dan antaranya adalah Matthew Davies, Safawi Rasid, Nor Azam Azih, Irfan Zakaria, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

“Bagaimanapun, mungkin masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan kerana Liga Malaysia (Liga M) masih belum bermula dan jika mereka me­nunjukkan aksi konsisten tiada masalah untuk dipanggil menyertai skuad senior.

“Sebenarnya semua pemain B-23 ini ada masa lagi untuk beraksi bersama skuad senior. Bagi saya lebih ramai lebih bagus kerana ini semua untuk masa depan skuad senior. Umur 22 dan 23 tahun paling tepat untuk menyertai pasukan senior,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Cheng Hoe yang sempat me­nyaksikan dua perlawanan skuad B-23 negara di peringkat kumpulan berkata, anak-anak buah Kim Swee perlu memanfaatkan peluang mereka untuk meningkatkan mutu permainan apabila beraksi dalam kejohanan tertinggi di Asia.
“Ini pengalaman terbaik untuk pemain kerana mereka semua adalah masa depan bola sepak negara. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kejohanan ini yang perlu dipertingkatkan antaranya teknikal, mental dan fizikal,” katanya. – UTUSAN