Perlawanan persahabatan ter­­sebut merupakan ujian ter­akhir untuk Harimau Malaya sebelum Cheng Hoe me­muktamad­kan senarai 23 pemain yang akan berjuang dalam kejohanan Piala AFF bermula 8 November hingga 15 Disember ini.

“Hari ini merupakan hari pertama kami dalam persiapan fasa terakhir di mana 20 pemain sudah lapor diri dan mereka semuanya bebas daripada kecederaan. Harap semuanya bersedia.

“Selepas final Piala Malaysia lima pemain Perak akan menyertai pasukan manakala Akhyar Rashid akan menyertai selepas tamat kempen Kejohanan AFC B-19.

“Sudah pasti dalam 26 pemain yang dipanggil, tiga daripadanya akan digugurkan, jadi ini merupakan ujian terakhir untuk mereka menunjukkan aksi positif bagi menghadapi Piala AFF. Barisan jurulatih sudah ada bayangan tetapi kami mahu tengok dalam persiapan 10 hari terakhir ini,” katanya kepada pemberita di padang latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Matthew Davies tiada dalam senarai dipanggil untuk kem latihan kali ini selepas pemain Pahang itu mengalami kecede­raan dan Cheng Hoe memberi­tahu dia terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan itu kerana dia memerlukan tempoh yang lama untuk pulih.

“Setelah menjalani ujian MRI (pengimejan resonans magnetik), Matthew didapati perlu berehat lebih lama untuk memulihkan kecederaan lututnya. Jadi, saya tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk menghadapi Piala AFF,” jelasnya.