Mourinho berkata demikian selepas Red Devils melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leicester City, semalam dan menegaskan gaya pasukannya bermain lebih menarik berbanding skuad kendalian Antonie Conte yang membosankan.

Masih kecewa dengan kritikan yang diterimanya ketika membimbing Blues musim lalu, Mourinho menyatakan dengan jelas bahawa dia belum yakin dengan cara Chelsea biarpun pasukan itu mempunyai kelebihan sembilan mata sebagai pendahulu liga.

Bagaimanapun, pengurus kelahiran Portugal itu memuji corak permainan Tottenham dan Liverpool, biarpun pasukan tersebut juga mengamalkan falsafah berhati-hati seperti Chelsea.

“Pasukan bimbingan saya bermain dengan baik untuk bertahun-tahun sepanjang kerjaya saya, terutama di negara ini. Apabila saya menerapkan corak bertahan ramai mengkritik saya, walaupun berjaya memenangi gelaran liga sebanyak tiga kali.

“Tahun ini dilihat barisan pertahanan lebih utuh dan corak serangan balas pantas yang baik, ini perubahan yang besar di England.

“Kami Manchester United, kami menerapkan corak permainan menyerang. Ini merupakan corak permainan yang dimahukan penyokong.

“Tetapi saya tidak mahu menjadi pengurus pasukan yang tidak memenangi perlawanan. Kami perlu menjaringkan gol. Hari ini kita lakukan dan membuat perbezaan. Ia sangat penting.” katanya.

Kritikan Mourinho kedengarannya begitu keras, tetapi itu merupakan perkara biasa buat pengurus yang selalu menimbulkan kontroversi dan juga merujuk kepada prestasi terburuknya sebagai pengurus Chelsea.

“Kali terakhir berada di kerusi ini saya dipecat sehari kemudian,” katanya yang merujuk kembali peristiwa ketika dipecat selepas aksi menentang Leicester di Stadium King Power, musim lalu.

Dalam aksi semalam, kesemua gol dihasilkan pada babak pertama perlawanan iaitu menerusi Henrikh Mkhitaryan pada minit ke-42, disusuli jaringan penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic dua minit kemudian dan Juan Mata melengkap kemenangan sebelum babak pertama berakhir.

Kemenangan itu menyaksikan Red Devils mengekalkan deretan 15 perlawanan tanpa kalah dalam aksi liga. – AFP