Dali yang merupakan bekas rakan sepasukan Chee Keong dalam skuad kebangsaan pada era 1960-an terkejut sebaik sahaja menerima berita rakannya itu dan menyifatkan ia satu kehilangan besar buat sukan tanah air.

“Secara peribadi, saya tidak pernah jumpa penjaga gol lain seperti mendiang. Bagi saya, Chee Keong terlalu hebat kerana bukan mudah untuk menewaskannya di gawang gol. Saya sendiri pun sukar untuk menewaskannya.

“Mendiang seorang yang pendiam, berkelakuan baik, serius ketika menjalani latihan dan berani menghalang asakan lawan. Kali terakhir saya berjumpa dengan mendiang pada 1970 ketika kami beraksi bersama kelab masing-masing dalam Liga Malaysia.

“Kehilangan yang tiada penggantinya. Kehebatannya seperti penjaga gol Jerman, Oliver Kahn,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Chee Keong, 69, pernah dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lima tahun berturut-turut bermula 1966 meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bekas penjaga gol Selangor itu meninggalkan balu, Christina Kwok dan anak lelaki, Adrian.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin yang sempat meluangkan masanya melawat keluarga mendiang di PPUM hari ini turut melahirkan rasa sedihnya terhadap pemergian mendiang.

“Difahamkan mendiang disahkan menghidapi kanser tahap empat di bahagian pundi kencing pada tahun lalu dan pada Januari lalu, mendiang melakukan pembedahan pintasan jantung. Terdapat beberapa komplikasi daripada penyakit yang berasingan itu. Takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang,” katanya. - UTUSAN ONLINE