Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkembangan kelab Jepun itu yang berminat untuk mendapatkan pemain berusia 17 tahun tersebut diketahui selepas beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Cerezo dan Yakult Malaysia di sini semalam.

Luqman, yang juga produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula menambat hati Cerezo apabila tersenarai dalam Kesebelasan Utama Terbaik Piala Sanix 2019, yang diadakan di Global Arena, Fukuoka, Jepun pada Mac lalu.

"InsyaAllah akan terpilih (jika Luqman lulus percubaan di Cerezo). Kalau lihat tengok prestasinya seperti Hadi Fayyadh juga dulu.

"Memang Jepun pun dah nampak dari awal prestasi Luqman, memang sangat baik dan boleh menjalani latihan serta jadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang," kata Syed Saddiq selepas bertemu lima pemain Malaysia dalam Projek Impian ASEAN (ADP) 2019, di sini, semalam.

Cerezo bukanlah nama asing dalam saingan J-League, pencapaian terbaik mereka adalah pada 2017 apabila menjuarai Piala Liga, Piala Emperor dan menamatkan saingan di tempat ketiga selain pernah melahirkan produk bertaraf dunia seperti Shinji Kagawa dan Takashi Inui.

Luqman mula bersinar sewaktu membantu skuad B-13 NFDP melakar sejarah muncul juara Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 dengan dia antara penjaring terbanyak kejohanan.

Pemain kelahiran Kelantan itu kemudian mencuri tumpuan apabila meraih anugerah penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu.- UTUSAN ONLINE