TANGISAN Gianluigi Buffon di depan kamera TV membuatkan Iker Casillas sebak.

Buffon, 39, mengumumkan persaraan sebagai penjaga gol Itali selepas skuad Azzurri gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun ekoran seri 0-0 dengan Sweden dalam playoff kedua di Milan awal pagi tadi. Sweden layak ke Rusia secara agregat 1-0.

Bekas penjaga gawang Real Madrid dan Sepanyol, Casillas sering berkongsi pentas besar bersama Buffon sejak dua dekad lalu, baik ketika menyarung jersi kelab mahu pun negara.

Kata Casillas, 36, dia dapat merasai kesedihan Buffon apabila melihat penjaga gol Juventus itu menangis dan gagal mengawal perasaan di depan kamera ketika sedang ditemubual oleh beberapa stesen televisyen sejurus tamat perlawanan di San Siro.

“Saya tidak suka melihat kamu dalam keadaan begitu! Saya mahu melihat anda seperti yang saya lihat selama ini kerana bagi ramai orang anda tetap seorang LEGENDA.

“Bangga dapat bertemu anda dan melihat wajah anda banyak kali. Anda masih perlu menggembirakan kami dalam bola sepak, kawan,” tulis Casillas dalam Twitter. - AGENSI