Perkara itu berikutan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) akan membawa kes tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Switzerland.

Menurut Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah, pihaknya kini menerusi peguam yang dilantik sedang menyediakan dokumen berkaitan untuk dikemukakan kepada CAS dalam masa terdekat.

Jelas beliau, pihaknya menjangkakan proses rayuan kepada CAS itu akan diketahui selewat-lewatnya hujung September ini iaitu sebelum bermulanya saingan musim baharu Liga Super 2020 yang dijadualkan antara Oktober dan November ini.

“Kita akan menggunakan semua saluran yang ada untuk merayu keputusan pemotongan enam mata FIFA itu apatah pasukan ini telah berkorban masa, tenaga dan kos semata-mata untuk melayakkan kita ke Liga Super musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee di sini hari ini.

Mengulas mengenai keputusan FIFA itu, Amar Pritpal mengakui pihaknya berasa sangat kecewa apatah lagi selepas mencuba sedaya upaya menjelaskan baki bayaran kepada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo mengikut saluran ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil terutama kepada pihak pengurusan baharu FAP dan para pemain yang tidak ada kena-mengena dalam isu terbabit.

Katanya, keputusan itu juga boleh membunuh semangat dan bakat para pemain muda Harimau Kumbang untuk melebarkan karier mereka dan bermain di dalam liga yang lebih berprestij seperti Liga Super.

“Kita juga bersedia sekiranya FIFA mengarahkan kita membayar penalti lebih tinggi daripada baki yang sepatutnya dijelaskan kepada Lobo, tetapi bukan menerusi pemotongan enam mata,” katanya.

Kurang 24 jam selepas layak ke Liga Super musim depan hasil kemenangan menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu lalu, Pulau Pinang dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA yang menyaksikan pasukan itu jatuh ke kedudukan ketujuh liga.

Kesilapan itu berpunca daripada masalah tukaran mata wang asing berhubung pembayaran gaji Lobo yang pernah beraksi bersama pasukan Harimau Kumbang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017 mengikut surat arahan FIFA iaitu sebanyak AS$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus.

FIFA juga mengenakan denda tambahan USD10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC).

Pada 17 April, FAP telah membuat pembayaran berjumlah AS$92,597.72 (RM386,391.77) kepada Lobo tanpa pengetahuan FAM.

Bagaimanapun, pada 29 April, peguam Lobo menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumkan telah menerima bayaran tersebut namun FAP tidak membuat pembayaran yang sepatutnya iaitu AS$97,041.83 (RM399,379.06). - UTUSAN ONLINE