Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila memperoleh dua kemenangan besar terhadap Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam aksi pertama dan kedua saingan playoff di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, peringkat pusingan kedua merupakan satu lagi saingan sengit kerana 40 pasukan yang layak termasuk kuasa-kuasa besar bola sepak Asia seperti Qatar, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bersaing untuk mendapatkan 12 tempat pada pusingan ketiga dan slot automatik ke Piala Asia 2023.

“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua September ini. Saya mahukan semua pemain bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya bukan mudah.

“Kemungkinan besar kita akan diundi bersama negara seperti Iran, Jepun dan Qatar. Pemain kena sedia terima tekanan yang lebih tinggi dan kuat sekiranya berhadapan negara-negara itu,” katanya, malam tadi.

Malaysia kini menduduki tempat keempat di belakang juara Arab Saudi, UAE dan Palestin dalam Kumpulan A pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menegaskan barisan pemain yang membarisi pasukan Harimau Malaya ketika menentang Timor Leste tidak diberi jaminan bahawa tempat mereka akan dikekalkan.

“Tiada jaminan 30, 25 atau 23 pemain yang dipanggil bersama skuad negara kali ini akan kekal bersama pasukan.

“Dalam membentuk pasukan menghadapi pusingan kedua, kita akan memantau prestasi semua pemain dalam liga dari semua segi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE