Gergasi bola sepak Itali itu dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran lumayan 95 juta pound (RM482 juta) beserta Paulo Dybala bagi mendapatkan Neymar.

Akhbar Sepanyol, AS mendakwa, tawaran yang dikemukakan Juventus jauh lebih 'mengggoda' berbanding Barcelona yang menawarkan pakej pinjaman kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Tindakan Barcelona melepaskan pemain yang menjadi sasaran PSG, Philippe Coutinho kepada Bayern Munich juga tidak menggembirakan kelab Perancis itu.

Real Madrid sebelum ini turut menyuarakan minat mendapatkan Neymar, namun menarik diri kerana sukar memenuhi harga tinggi yang diletakkan untuk pemain berusia 27 tahun itu.

Jurulatih Juventus, Maurizio Sarri sudahpun berbelanja besar musim ini dengan membawa masuk Matthijs de Ligt, Danilo serta Cristian Romero.

Bagaimanapun juara Serie A itu percaya, masih ada ruang buat Neymar dengan syarat Dybala dilepaskan.

Mereka juga perlu melepaskan Mario Mandzukic, Gonzalo Higuain, Blaise Matuidi dan Daniele Rugani bagi mengimbangi perbelanjaan. - AGENSI