Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membayangkan kesediaan memberi ‘lampu hijau’ kepada permohonan badan bola sepak negara itu untuk mendapatkan kerakyatan buat empat pemain berkenaan demi merealisasikan misi memburu tiket Piala Dunia.

“Baru-baru ini, FAM telah mengemukakan empat nama daripada pemain bukan warganegara bersandarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Mengikut syarat-syarat dalam perlembagaan Malaysia fasal 15 a yang memberi kuasa kepada menteri di atas kes-kes istimewa supaya mereka ini boleh bermain dalam pasukan kebangsaan sampai ke peringkat FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan mungkin, InsyaAllah ke Piala Dunia. Itu bukan perkara mustahil.

“Perkara itu telah dikemukakan oleh FAM pada minggu lalu dan saya sudah meminta pegawai meneliti dan selepas itu mereka akan bawa kepada saya untuk dipertimbangkan empat nama tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan sesi latihan skuad Liga Perdana PDRM semalam.

Muhyiddin yang juga penasihat pasukan bola sepak PDRM bagaimanapun tidak mendedahkan identiti keempat-empat pemain tersebut.

Bagaimanapun, FAM sebelum ini telah membuat permohonan untuk dua pemain senior yang tidak asing dalam liga bola sepak tempatan iaitu bekas bintang tengah Kedah dan Melaka, Liridon Krasniqi, 27, dari Albania serta penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula, 33, yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super.

Utusan Malaysia difahamkan, dua lagi pemain yang berjaya memikat FAM adalah bintang muda berdarah Malaysia-Jamaica yang pernah beraksi di Itali dan England, Kobe Chong,19, serta pemain skuad bawah 22 tahun Singapura, Armin Maier Rafi, 21, yang ketika ini menyarung jersi Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Kobe difahamkan telah menyerahkan dokumen kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas mengadakan pertemuan dengan FAM, dan dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana neneknya dilahirkan di Perak.

Kobe memulakan karier sebagai pemain dengan menyertai pasukan West Bromwich Albion pada musim 2010/12, sebelum menyertai Kidderminster Harriers selama dua musim iaitu dari musim 2014 sehingga 2016.

Dia kemudian berhirah ke Itali untuk menyarung jersi skuad bawah 17 Cagliari.

Sering bermain di posisi serangan, namun Kobe juga boleh beraksi di bahagian sayap.

Bintang Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh adalah pemain naturalisasi pertama Malaysia yang dibawa masuk untuk menghadapi Piala AFF tahun lalu.