Buffon membantah keputusan pengadil itu kerana menghadiahkan sepakan penalti pada minit terakhir permainan yang sekali gus membuka laluan kepada Real Madrid menyingkirkan Juventus pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara, minggu lepas.

Oliver turut melayangkan kad merah kepada Buffon berikutan tindakannya yang membantah keputusan pengadil memberikan sepakan penalti tersebut.

Buffon tidak berhenti setakat itu sahaja, malah, dia dengan lantang mengkritik Oliver ketika berada di luar padang.

“Cukup jelas anda tidak mempunyai hati perut, sebaliknya memiliki hati seperti tong sampah.

“Apa yang lebih penting, jika anda tidak memiliki perwatakan untuk berada di dalam padang seperti di stadium ini, anda boleh sahaja duduk di tempat duduk penonton bersama isteri dan anak-anak anda sambil menikmati minuman Sprite dan makan kerepek.

“Anda tidak boleh merosakkan impian sebuah pasukan,” kata Buffon.

Namun kini, setelah hampir seminggu insiden dramatik itu berlaku di Bernabeu, Buffon kelihatannya telah dapat berfikir dengan tenang, malah, penjaga gol itu mengakui, dia bersikap keterlaluan dengan kritikannya itu.

“Keputusan yang dibuat akan menceminkan diri kita sendiri dan membentuk keperibadian kita. Anda tidak boleh bersikap keterlaluan, kadang kala ia satu perbuatan yang salah. Tetapi ini bermakna anda masih hidup, dan sebab itu anda hadir ke dalam dunia ini.

“Selepas insiden di Bernabeu, saya mencari ketenangan diri sambil melihat cendawan dan bunga yang tumbuh. Minggu tersebut membolehkan saya melalui satu pengalaman yang cukup beremosi, indah dan adrenalin tulen. Saya juga hidup disebab faktor itu,” kata Buffon.

Buffon dijangka bersara sebaik musim ini berakhir, tanpa merasai pengalaman menjulang Liga Juara-Juara. - AGENSI