Pemain paling bernilai itu boleh dikatakan telah kembali pulih sepenuhnya daripada pembedahan bagi merawat kecederaan kakinya yang patah pada Mac lalu.

Sejak mengalami kecederaan tersebut ketika bersama Paris Saint-Germain menentang Marseille pada Februari lalu, Neymar hanya berada selama 129 minit di atas padang.

Walau bagaimanapun, ketika bersama Brazil dalam perlawanan pemanas badan pemain itu masih boleh menjaringkan gol menentang Croatia walaupun masuk dari bangku pemain simpanan malah turut mempamer aksi menarik ketika meraih kemenangan ke atas Austria.

“Selepas tiga bulan dan bermain beberapa perlawanan dia kini mampu beraksi dalam perlawanan di tahap tertinggi.

“Tiada siapa menjangkakan prestasi baiknya itu terutama selepas kembali daripada kecederaan,” kata rakan baik Neymar, Thiago Silva.

Pemain berusia 26 tahun itu dilihat amat gembira bersama rakan sepasukannya ketika sesi latihan Brazil di sebuah resort di Laut Hitam, Sochi malah turut meluangkan masa melayan peminat sewaktu sesi terbuka skuad pada Selasa.

Neymar akan berada dalam kesebelasan utama di Rostov-on-Don dalam Piala Dunia sejak kali terakhir membuat penampilan dalam kejohanan tersebut ketika perlawanan suku akhir 2014 menentang Colombia.

Penjaga gol Brazil, Alisson berkata, pasukannya kini semakin bersemangat apabila Neymar sudah kembali cergas bersama Brazil.

“Neymar adalah pemain yang amat hebat dan kami amat bersyukur dia sudah kembali bersama pasukan.

“Saya amat mengenali Neymar secara peribadi ketika Sukan Olimpik dan dia melayan saya dengan amat baik, begitu juga terhadap rakan sepasukan lain.

“Bagi pasukan, peranannya amat penting di padang dan dia sering memberikan pandangan yang bernas.

“Saya juga yakin keserasian kami dalam pasukan umpama adik-beradik,” kata Alisson. – AFP

Brazil berada di Rusia selaku pasukan pilihan dengan mereka mahu mengembalikan reputasi sebagai gergasi bola sepak dunia selepas dimalukan oleh Jerman yang membelasah mereka dengan keputusan 7-1 empat tahun lalu dalam perlawanan separuh akhir di laman sendiri. – AFP