Pada usia hanya 17 tahun 239 hari, Pele atau nama sebenar, Edson Arantes do Nascimento muncul pemain termuda yang menjaringkan gol dalam satu perlawanan pusingan akhir Piala Dunia, menentang Wales.

Tahun 1958 merupakan tahun yang paling dikenang dalam sejarah Brazil kerana pencapaian pasukan kebangsaannya yang menjulang trofi Jules Rimet buat kali pertama.

Mereka melakukannya dengan kenangan pahit 1950 gara-gara kekalahan 2-1 kepada Uruguay di tanah air. Dua wira muncul iaitu sayap kanan, Garrincha dan remaja berbakat luar biasa, Pele.

Menariknya, gandingan ini memulakan kejohanan di bangku simpanan, hanya menyertai barisan utama Brazil dalam perlawanan ketiga dan terakhir peringkat kumpulan, menewaskan Kesatuan Soviet 2-0.

Mereka kemudian kekal dalam kesebelasan sejak itu dengan Pele menjaringkan gol tunggal terhadap Wales dalam suku akhir dan membuat hatrik ketika mereka membelasah Perancis 5-2 dalam separuh akhir.

Perlawanan akhir di Stadium Rasunda, Stockholm menarik kehadiran lebih 50,000 penonton. Walaupun kebanyakan mereka menyorak tuan rumah, namun mereka masih terpesona dengan kemahiran jagoan Brazil dan bertepuk tangan buat pemenang trofi Jules Rimet itu.

Brazil bermula dengan buruk apabila bintang Sweden yang berpangkalan di Milan, Nils Liedholm merembat gol pendahuluan tuan rumah hanya empat minit permainan bermula.

Lima minit kemudian, kedua-dua pasukan setara. Garrincha meluru dari kanan dan mengumpan lintang rendah kepada penyerang tengah, Vava yang menyumbat gol dari jarak dekat.

Pemain yang digelar ‘Dada Besi’ itu menepati sasaran lagi pada minit ke-32, hampir sama gayanya selepas larian di sebelah kanan oleh Garrincha yang memukau benteng Sweden.

Mulai seronok dalam babak kedua, Brazil beroleh gol ketiga hanya dua minit selepas rehat menerusi jaringan cantik yang paling dikenang dalam perlawanan akhir.

Pele yang mendada bola daripada lintangan ke dalam kotak penalti, menyungkit melepasi kepala pemain lawan dan merembat masuk bola di awangan.

Pada pertengahan babak permainan, Mario Zagallo terus menyukarkan tentangan Sweden dengan rembatannya sebelum lawan merapatkan jurang manakala gol terakhir Brazil ditanduk masuk Pele dalam masa kecederaan.

Pele yang menangis ketika wisel penamat berbunyi, memainkan peranan bukan sahaja dalam mengubah nasib A Selecao (pasukan kebangsaan) bahkan membantu negara itu keluar daripada bayangan kegagalan lalu.

“Selepas gol kelima, saya tidak mahu mengawal Pele lagi. Saya hanya mahu bertepuk tangan buatnya.” kata Sigge Parling, pemain tengah Sweden.

Kata Pele pula, apabila mengumpan kepada Didi, dia melakukannya seolah-olah mahu berlari ke depan tetapi menoleh belakang.

“Tindakan ini mengelirukan pertahanan dan dia membiarkan bola lepas kepada saya. Apabila saya mengawalnya dengan dada, dia fikir saya akan merembat.

“Saya memijak bola dan menyungkitnya melepasi kepalanya, sesuatu yang di luar kebiasaan pasukan Eropah. Mereka sentiasa cuba menutupi anda kerana mereka biasa dengan pemain yang merembat terus. Saya merembat bola sebelum mencecah tanah dan bola masuk. Itulah gol paling cantik dalam karier saya.” ujar Pele mengimbas gol ketiga Brazil.