Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penting untuk KBS menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan semua pihak daripada peringkat awal dalam usaha untuk mengubah langskap bola sepak di negara ini.

“KBS tidak boleh mengamalkan sikap bodoh sombong, seolah-olah kami tahu semua perkara. Jadi, mustahak untuk kami menjalinkan kerjasama dengan semua pihak kerana perubahan tidak dapat dilakukan oleh satu pihak sahaja.

“Kita perlu bergerak seperti sebuah keluarga. Susah senang sama-sama hadapi,” kata Saddiq dalam ucapannya pada Majlis Tandatangan Perjanjian Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Bukit Jalil, hari ini.

Dalam perjanjian tersebut, Stadium Nasional Bukit Jalil akan dijadikan laman rasmi skuad kebangsaan bagi mana-mana perlawanan hingga 31 Disember ini dengan tempoh lanjutan dua tahun iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

PSM juga akan bekerjasama dengan FAM untuk menjual tiket perlawanan membabitkan Harimau Malaya di atas talian sepenuhnya selain menggunakan sistem tempat duduk bernombor. - UTUSAN ONLINE