Skuad bimbingan Ernesto Valverde itu memperoleh kejayaan hasil jaringan pemain prolifik Lionel Messi dan Paulinho masing-masing pada minit ke-36 dan 90, sekali gus membolehkan Barca mencatat 12 kemenangan dan satu seri sepanjang 13 perlawanan La Liga dan Liga Juara-Juara.

Jelas pemain berusia 29 tahun itu, Bilbao memberikan tekanan kepada mereka sehingga memaksa Barca untuk bekerja lebih keras, terutama pada separuh masa kedua.

“Gol itu penting bagi kami. Pada babak kedua mereka lebih baik dan bertambah maju permainan mereka. Kami terpaksa menghantar bola lebih tepat menerusi hantaran dan kawalan bola.

“Sama ada mereka hebat atau tidak, tetapi mereka telah memberikan cabaran sengit kepada kami. Bagi saya ia bukan mudah (berdepan mereka)

“Mereka menekan kami dan kami berasakan tekanan. Ia sukar untuk menembusi pertahanan mereka, kami melakukannya tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Setakat ini, Bilbao yang dikendalikan oleh Valverde pada musim lalu sekadar mencatat satu kemenangan daripada 12 perlawanan terakhir mereka.

Sementara itu, turut senada, jurulatihnya Valverde yang mengatakan Bilbao bermain dengan sangat baik termasuk sering mematikan serangan Barca.

“Bilbao memberi tekanan kepada kami di separuh masa kedua dan menjadikan keadaan sukar buat kami. Kami kerap hilang bola dan tanpa peluang-peluang yang bagus, Athletic begitu berbisa apabila mendapat bola,” katanya.

Dalam satu lagi aksi La Liga, Atletico Madrid sekadar terikat 1-1 dengan Villarreal, menyaksikan gol masing-masing disumbat oleh Angel Correa dan Carlos Bacca pada minit ke-61 serta 81.- AFP