Kemenangan 5-0 ke atas Levante, hujung minggu lalu membuktikan gergasi bola sepak Sepanyol itu memiliki jentera serangan ampuh diketuai Lionel Messi.

Begitupun, Barcelona antara pasukan paling banyak dibolosi musim ini dengan melepaskan 19 gol daripada 16 perlawanan.

“Kami mengharungi kempen positif dan paling penting, permainan kami semakin baik.

“Biarpun masih membenarkan gawang dibolosi, namun ia sudah berkurangan berbanding awal musim,” kata bek tengah, Gerard Pique.

Begitupun dengan kecederaan beberapa tonggak pertahanan, termasuk Thomas Vermaelen, Barcelona terpaksa meminjam Jeison Murillo dari Valencia biarpun dia baru beraksi dalam satu aksi La Liga.

Pengendali Barca, Ernesto Valverde sebelum ini terpaksa menggunakan tiga pertahanan ekoran kecederaan lutut yang dialami Nelson Semedo.

Vermaelen dijangka berehat sebulan manakala Samuel Umtiti, gandingan Pique masih berada di Qatar untuk menjalani rawatan lutut.

Itu meninggalkan Clement Lenglet, satu-satunya pertahanan berpengalaman untuk bergandingan bersama Pique.

“Kami tidak boleh melepaskan gol dalam setiap perlawanan.

“Jelas sekali benteng perlu diperkukuhkan. Kami bakal menghadapi tahun baharu yang jauh lebih mencabar,” kata Messi. – AGENSI