Dengan menurunkan pemain bintang dan barisan terbaik mereka, Belgium tidak menghadapi masalah untuk merobek gawang lawan menerusi dua gol sumbangan Romelu Lukaku dan masing-masing satu gol menerusi Dries Mertens dan Michy Batshuayi.

Paling mencuri tumpuan ialah kelibat Eden Hazard yang cukup meyakinkan dan semakin bijak menggunakan kreativiti dan kepantasannya untuk menggerakkan jentera serangan Belgium dengan berkesan sepanjang perlawanan.

Dengan tinggal enam hari sahaja lagi sebelum membuka kempen Piala Dunia 2018 di Rusia menentang Panama di Sochi Isnin ini, kemenangan tersebut jelas satu amaran bahawa skuad bimbingan Roberto Martinez itu sudah sedia dan makin serasi dengan adunan yang diterapkan pengendali dari Sepanyol itu.

Walaupun Costa Rica lebih dahulu membuka jaringan menerusi ketua pasukan mereka, Bryan Ruiz pada minit ke-24, Belgium mudah sahaja bangkit menerusi Mertens tidak lama selepas itu sebelum Lukaku meledakkan dua gol di babak pertama dan kedua diikuti Batshuayi yang melengkapkan kemenangan besar itu.

Jika betul Martinez sudah berjaya menggandingkan pemain bintangnya dengan berkesan dan membentuk persafahaman mantap, Belgium sudah boleh diletakkan sebagai antara pasukan pilihan untuk muncul juara dunia kali ini.

Ini jauh berbeza berbanding ketika Marc Wilmots mengendalikan pasukan Belgium apabila dia gagal memanfaatkan bakat besar pemain generasi emas ini menjadi sebuah pasukan yang digeruni pada Piala Dunia 2014 di Brazil dan Euro 2016 di Perancis.

Sementara itu dalam satu lagi aksi persahabatan yang berlangsung awal hari ini yang dilangsungkan secara tertutup dan penuh misteri, Senegal dikatakan berjaya menewaskan Korea Selatan 2-0.

Bagaimanapun persatuan bola sepak dua negara ini tidak langsung mendedahkan keputusan perlawanan manakala usaha sedang dibuat untuk mendapatkan pengesahan FIFA bagi menentukan sama ada ia perlawanan persahabatan yang diiktiraf atau pun tidak.

Piala Dunia 2018 akan membuka tirai Khamis ini dengan Rusia selaku tuan rumah akan menentang Arab Saudi dalam aksi Kumpulan A. – REUTERS