Bayern yang juga juara lima kali akan menerima kunjungan juara 12 kali, Real dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Pasukan dari Sepanyol itu muncul juara dua kali berturut-turut tetapi pasukan dari Jerman itu sedang memburu kejuaraan treble musim ini selepas menampilkan aksi cemerlang di bawah kendalaian Jupp Heynckes yang menggantikan Carlo Ancelotti, Oktober lalu.

Bayern sudah mengesahkan kejuaraan Bundesliga dan berjaya menempatkan diri dalam aksi final Piala Jerman.

“Bayern sudah berubah sepenuhnya di bawah pengendali baharu. Saya sangat menghormatinya dan dia sudah melakukan perubahan besar ke atas pasukannya,” kata Zidane terhadap Heynckes.

Heynckes kini memiliki rekod 12 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara mengatasi rekod 2013 ketika dia membawa Bayern menjulang trofi kejuaraan sebelum bersara dan dia akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.

“Kami perlu tampil dengana aksi terbaik ketika menentang pasukan kuat seperti Bayern.

“Bayern adalah kelab yang memiliki semangat berpasukan tinggi.

“Saya tidak fikir ada pasukan pilihan di sini. Ini adalah separuh akhir dan keadaan jelas berbeza berbanding musim lalu, jadi tidak boleh dibuat perbandingan dalam perlawanan kali ini,” kata pengendali Perancis itu.-REUTERS