Perancang utama Brazil itu sendiri telah meminta agar dilepaskan biarpun Liverpool berulang kali menegaskan dia tidak akan dijual pada sebarang harga.

Difahamkan Barcelona tidak berputus asa dan terus berusaha mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu dengan tawaran baharu bernilai 120 juta pound (RM670 juta).

Akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo mendakwa, Coutinho mempunyai perjanjian dengan Liverpool yang membolehkan dia meninggalkan Anfield pada perpindahan musim sejuk.

“Kami sudah bersedia untuk membeli Coutinho pada pasaran perpindahan Januari atau mana-mana pemain yang diminta oleh barisan teknikal.

“Bagaimanapun apa yang penting bagi kami sekarang adalah bagaimana hendak membuat penyelarasan, jadi apabila ada pemain baharu masuk maka akan ada pemain yang perlu keluar.

“Apa yang kami mahu ialah memiliki pasukan kompetitif dan dalam usaha tersebut kami akan cuba untuk mendapatkan pemain yang diinginkan biarpun kelab mereka enggan melepaskan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Barcelona, Oscar Grau.

Pada pasaran perpindahan Ogos lalu, jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde berkata, dia mahu lebih banyak pemain yang berkualiti selepas menjual ­Neymar kepada Paris Saint Germain (PSG), Ogos lalu.

Barca menjual rakan negara Coutinho, Neymar pada harga rekod dunia 222 juta euro (RM 1.1 bilion), Ogos lalu, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan kewangan yang bagus untuk melakukan pembelian besar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, isu kecederaan menghantui Reds apabila menerima kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris paling mencuri tum­puan, Sabtu ini.

Reds menerima tamparan hebat apabila bintang tengah, Sadio Mane terpaksa diketepikan enam minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Senegal mengalahkan Cape Verde 2-0 dalam aksi kela­yakan Piala Dunia 2018, Sabtu lalu.

Roberto Firmino dan Coutinho yang terpaksa mengharungi perjalanan 6,000 batu dari Sao Paulo selepas membantu Brazil menumpaskan Chile 3-0 pada kelayakan Piala Dunia lewat menyertai latihan pasukan.

Pemain tengah, Adam Lallana pula masih menjalani program pemulihan kecederaan paha dan tonggak pertahanan, Nathaniel Clyne juga menerima rawatan untuk masalah belakang. – AGENSI