Penyerang kontroversi Itali itu yang menandatangani kontrak semalam akan diperkenalkan hari ini.

“Mario pulang.

“Kepulangan ke Itali selepas tiga tahun menjadi kenyataan kerana keinginan Mario sendiri untuk pulang ke Brescia – kota di mana dia membesar dan membina kemahiran teknikal dan fizikalnya," tulis Brescia dalam satu kenyataan.

Balotelli, 29, yang dilahirkan di Sicily tetapi dibesarkan keluarga angkat di pinggir kota Brescia dilaporkan bersetuju menyertai juara Serie B itu untuk tiga tahun selepas mendapat pelepasan dari kelab Perancis, Marseille.

“Akhirnya kembali ke kota saya,” tulis Balotelli dalam sosial media.

Balotelli membuat penampilan pertama bersama Lumezzane dalam Serie C pada usia 16 tahun, sebelum menyertai gergasi Serie A Inter Milan pada 2007.

Bagaimanapun penampilan sulung Balotelli bersama Brescia tertangguh kerana penyerang itu perlu menjalani penggantungan empat perlawanan dan dijangka beraksi pada 25 September bertemu Juventus.

Balotelli sebelum ini menolak tawaran kelab Brazil, Flamengo kerana memburu tempat dalam skuad kebangsaan Itali untuk Kejohanan Eropah (Euro) 2020.

Dia memiliki 36 cap bersama Itali, namun gagal mendapat tempat dalam skuad Azzurri bimbingan Roberto Mancini sejak September kerana tidak mencapai tahap ditetapkan jurulatih itu.

Brescia pula kembali menyertai liga tertinggi Itali itu sejak tersingkir ke Serie B pada 2011.

Kali terakhir Balotelli beraksi dalam Serie A ialah bersama AC Milan ketika dipinjamkan oleh Liverpool pada musim 2015-16.

Sebelum itu dia menyarung jersi Inter Milan yang dikendali Jose Mourinho dan memenangi treble Serie A, Piala Itali dan Liga Juara-Juara pada 2010.

Dia memenangi tiga gelaran Serie A bersama Inter sebelum membantu Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris pada 2012. – AFP